Friday, October 16, 2009

Juarai kebajikan rakyat - Najib

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menunaikan janjinya sebaik mengambil alih tampuk kepimpinan UMNO Mac lalu untuk melakukan perubahan dalam parti dengan komitmen menjuarai kebajikan rakyat.

Dalam nada yang tenang tetapi serius, Presiden UMNO itu memberikan nasihat dan seruan - berubah untuk rakyat kepada para perwakilan dan pemerhati yang memenuhi Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dengan tegas dan lantang beliau berkata, UMNO harus dilihat, ditanggap serta diyakini sebagai parti yang ampuh membela untung nasib rakyat.

"UMNO tidak boleh dilihat sebagai sebuah parti yang hanya ghairah memperjuangkan kelompok yang sedikit.

"Sebaliknya, kita mahu UMNO dilihat, dirasai serta diyakini sepenuhnya sebagai sebuah parti inklusif yang mendahulukan rakyat dan bukannya mendahulukan diri sendiri.

"Maka itu, persepsi UMNO sebagai parti untuk cari makan mesti dibuang jauh-jauh, mesti ditinggalkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2009 di sini.

Dalam ucapan sarat dengan ingatan dan panduan disulami pepatah, peribahasa dan perumpamaan yang penuh maksud itu, beliau menegaskan, UMNO mesti dikenali sebagai parti yang bukan sekadar mampu melakar perubahan tetapi "perlu membumi dan mendakap realiti".

Dengan membawa maksud perubahan itu harus dizahirkan, Najib berkata, UMNO tidak boleh terpisah daripada arus pemikiran dan aspirasi rakyat kerana "rakyat mahukan parti dan kerajaan memahami kehendak mereka dan mereka mahu lebih dirundingi dan didampingi secara langsung".

Dalam ucapannya bertajuk Menjunjung Tradisi, Menzahir Perubahan beliau menegaskan, UMNO mesti meneruskan proses islah (pembaharuan) dan menzahirkan perubahan-perubahan yang sesuai dengan masa.

"Realitinya, rakyat mahukan pandangan mereka diambil kira dalam menentukan hala tuju negara.

Ia seterusnya perlu dimanifestasikan pula dalam gerak kerja penggubalan dasar-dasar kerajaan demi kepentingan rakyat menyeluruh.

"Oleh kerana itu, UMNO akan terus menjuarai kebajikan dan periuk nasi semua rakyat," jelasnya.

Najib yang segak berbaju Melayu warna biru dan bersamping songket biru muda dalam ucapan lebih sejam itu, turut menyentuh peri pentingnya sejarah, 1Malaysia, pindaan perlembagaan dan perubahan sikap.

Beliau yang mengambil alih tampuk kepimpinan parti daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Mac tahun lalu berkata, UMNO akan terus mendapat tempat sebagai sebuah parti, selama mana kehendak dan kemahuan rakyat dapat difahami dalam perjuangan parti.

Menurutnya, masalah tidak akan timbul apabila aspirasi UMNO dan aspirasi majoriti rakyat Malaysia adalah satu.

"Kekalutan hanya akan wujud jika tasawwur (gambaran) UMNO tidak lagi mewakili tasawwur rakyat terbanyak.

"Hal ini ditambah burukkan lagi oleh persepsi di kalangan orang Melayu bahawa UMNO tidak bersedia untuk mengambil langkah-langkah pembetulan secara pantas," tegas beliau.

Dalam nada yang tenang tetapi tegas, Presiden UMNO itu berkata, jika perkara tersebut berlaku, maka rakyat akan menganggap UMNO bukan sahaja parti yang tidak berpijak di bumi nyata malahan bersikap angkuh serta kelihatan tidak acuh dan tidak peduli.

"Justeru, janganlah hairan jika perkara ini terjadi nanti, ramai rakyat Malaysia akan melihat UMNO bukan lagi sebagai sebahagian daripada penyelesaian, sebaliknya ia sudah berubah menjadi sebahagian daripada masalah," tegas beliau lagi.

Najib turut mengingatkan bahawa untuk terus lestari (konsisten), UMNO tidak ada pilihan, melainkan perlu membumi dan mendakap realiti.

UMNO juga kata beliau, perlu terus membuka rongga dan ruang pembaikan.

"Kuak dan kembangkanlah seluas-luasnya wadah perjuangan kita kepada semua yang ingin membantu memperkukuhkan lagi parti," katanya.

Najib menegaskan, UMNO juga harus kekal menjunjung tradisi perjuangan dengan terus menjuarai soal kebajikan dan periuk nasi semua rakyat.

Sehubungan itu, beliau mahu gerak kerja parti selari dengan tuntutan zaman dan tidak boleh lagi kelihatan sebagai parti yang hanya dilihat condong kepada satu-satu pihak sahaja.

"Sebagai tonggak parti pemerintah, UMNO tidak mampu ditanggap hanya sebagai bertumpu kepada inisiatif niaga besar-besaran atau projek mega semata-mata, tetapi sebaliknya kita mesti menjadi parti yang menjuarai rakyat.

"Khidmat UMNO juga harus merata. Kita akan tetap menjadi parti yang pro kepada pertumbuhan ekonomi berdaya tahan, pengagihan kekayaan yang adil, jaringan keselamatan sosial menyeluruh dan kos hidup terkawal," tegasnya.

2 comments:

Frodo Baggins said...

thumbs up pm!

sri hartamas said...

thumbs down PM!

My Say