Wednesday, October 22, 2008

Blogger diseru "gencatan senjata"?

Bila pula penulis dan bloger berperang? Gencatan senjata apa? Tak rugged lah berhenti menulis. Apabila seorang jurublog dan penulis mula berhenti menulis, maka datanglah Israfil. Takut ... tak sedia.

Oh tidak ... bukan perang senjata yang mengkorbankan nyawa dan harta yang dimaksudkan. Penulis dan jurublog meluahkan fikiran dan pandangan dalam peperangan ide yang hanya bersenjatakan pena.

Kadangkala senjata pena lagi bisa dan mengorbankan lebih banyak nyawa dari satu-satu senjata peperangan. Tapi ianya berlaku apabila apa yang diluah dan dijuang dari ide sebuah buku oleh sekumpulan ditentang oleh sekumpulan yang menentang dengan apa cara sekali pun.

Dalam satu pertemuan "gencatan senjata", Pak Habib atau penulis politik Syed Hussein Al Attas meminta penulis-penulis dan jurublog-jurublog sosio-politik berhenti "berperang" sekejap untuk "menulis mengenai penulis atau bloger" saja.

Uhhh ... itu agak berat, Pak Habib. Banyak yang perlu disentuh minggu ini.

Begini sahajalah. Saya akan tulis mengenai apa yang ingin saya tulis dan akan saya selitkan tulisan mengenai penulis. Kalau ini tujuan tersirat berkempen untuk seorang rakan penulis dan jurublog, maka saya sedia tulis melangkaui minggu ini.

Ya lah ... kalau jurublog yang bertanding di bawah bendera Pakatan Rakyat, seperti Nik Nazmi, Elizabeth Wong, dan lain-lain sudah bergelar YB, hai ... bila pula UMNO mahu mendengar penulis-penulis dan jurublog-jurublog menyurakan suara penulis-penulis dan orang Marhaen biasa dalam MKT?

Pertemuan "gencatan senjata" yang disebut diadakan di Concorde Hotel semasa makan tengahhari. Untuk mengetahui peristiwa semasa gencatan senjata itu, baca seterusnya untuk laporan lengkap oleh penulis politik veteran dan pengendali blog Tinta Merah, Mohd Sayuti Omar.

Oktober 21hb, 2008

Pertemuan Cease Fire Para Bloger Bebas

SATU pertemuan sambil makan tengah hari dikalangan bloger tidak berparti telah berlangsung di sebuah hotel yang di Jalan Sultan Ismail di Kuala Lumpur tengah hari tadi. Pertemuan itu dinamakan sebagai cease fire atau "gencatan senjata" sesama bloger di mana masing-masing bersetuju untuk melupai isu politik buat sementara waktu dan melupai agenda untuk mengangkat idola masing-masing.

Lebih 30 orang bloger dan termasuk peminat blog dan penulis hadir. Pertemuan itu atas inisiatif Abdul Aziz Chemor seorang penganalisa dan pemantau penulis dan bloger politik tanah air. Aziz tidak menulis atau mempunyai blog tetapi seorang yang prihathin kepada dunia pemblog dan penulisan politik serta mempunyai hubungan intim dengan kalangan penulis dan bloger. Beliau juga bertindak sebagai pembekal maklumat peribadi pemimpin negara.

Menurut beliau ilham untuk memanggil para bloger dalam satu majlis seumpama itu timbul apabila mengenangkan apa yang berlaku dalam politik Indonesia. Katanya politik Indonesia kini sedang menuju kehancuran kerana campur tangan anasir luar yang tidak dibendung oleh para pemikir yang terlalu sibuk dengan polemik sesama sendiri.

"Mudahan pertemuan ini akan membuka jalan dan memberi peringatan kepada kita bahawa kepentingan negara lebih utama dari segala kepentingan lain," katanya yang terharu dengan kesudian bloger menyahut jemputan itu.




Antara mereka yang hadir ialah Syed Hussein Alattas, Yassin Salleh, Rohanie Ahmad, Yahaya Ismail, Abdul Muluk Daud atau Dharmalan NS, Abu Bakar Ninggal, Salahuddin Hashim, Zabidi Saidi, Zakaria Bidin, Johari Ismail, Yusuf Merah, Don Hussein, Sudirman Ahmad, Azman Aziddin, Norazman Khamis, Talib Omar, Zainordin Ab Rani, Wan Ahmad Talib, Maidin Othman dan lain.



Pertemuan itu juga memberi kesempatan para bloger mengucapkan selamat hari raya antara satu sama lain.

Semua yang hadir gembira dan merasakan pertemuan seperti itu lebih kerap diadakan kerana ia akan memberi natijah yang baik. "Pertemuan ini memberi kesempatan kepada kita untuk saling berjumpa, berbincang untuk kebaikan bersama," begitu kata Syed Hussein Alattas yang bertindak selaku pengerusi pada majlis kecil yang bersejarah itu.

"Sudah sampai masanya kita bersatu dan membela diri kita sendiri. Lupakan politik sekejap....selama ini kita asyik membela diri orang politik saja, jadi mulai sekarang kita kena bangun membela diri sendiri," ujarnya disambut dengan tepok tangan bergemuruh.

Apa yang diperkatakan Pak Habib dipersetujui oleh Yahya Ismail. Di mana menurutnya kalau penulis dan bloger bersatu sudah pasti ia tidak akan diperkecilkan oleh orang politik.

"Selama ini penulis diperkecilkan dan kehadiran kita tidak dirasai kerana kita tidak bersatu menyebabkan kekuatan atau senjata yang ada kepada penulis mereka (orang politik) tidak nampak dan kita dirasakan tidak memberi impak kepada mereka," tambahnya lagi.

Tetapi tekan Pak Ya kalau penulis atau bloger bersatu sudah tentu mereka (orang politik) akan takut dan akan memberi reaksi atas apa-apa juga pandangan yang dilontarkan oleh penulis.

Sejajar itu juga para bloger diminta agar memberi sokongan sepenuhnya kepada hasrat bloger kudakepang, Rohanie Ahmad (Datuk) yang ingin menawarkan diri untuk bertanding sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno.

Satu resolusi ringkas diambil pada pertemuan itu di mana para bloger diminta membantu Rohanie dengan menulis dan mendedahkan pengalaman dan ketokohan bekas ahli Parlimen Parit Sulong dan juga bekas Pengerusi Backbencher itu.

"Kita hendaklah bersatu memberi sokongan kepada rakan kita dengan harapan beliau (Ron) akan dapat membawa suara penulis ke dalam arus politik perdana," kata Pak Ya disambut tepukan bergemuruh.

Rohani yang terharu dengan sokongan itu bangun memberi penjelasan kenapa beliau menawarkan diri untuk jadi ahli MT. Katanya beliau mulanya tidak berminat tetapi setelah didesak oleh rakan-rakan akhirnya beliau bersedia untuk menawarkan diri.


"Saya lihat Umno kini sudah menyimpang jauh. Perjuangannya bukan lagi untuk agama, bangsa dan negara. InsyaAllah dengan sedikit pengalaman politik dan demokrasi yang ada hasil pendedahan saya di peringkat antarabangsa saya akan cuba memperbetulkan penyimpangan itu," katanya sambil mengharap kawan-kawan akan membantunya kerana beliau tidak ada jentera kempen seperti calon-calon lain dan semata-mata menyerahkan diri atas budi bicara perwakilan.

Pertemuan santai dan penuh ramahmesra itu juga tidak melupai nasib yang sedang dihadapi oleh Raja bloger, Raja Petra Kamaruddin yang kini sedang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Yassin Salleh yang juga dikenali sebagai penyair dan pengarah filem telah mencadangkan supaya bloger yang hadir memperjuangkan agar Raja Petra dibebaskan dengan memaparkan kempen di laman blog masing-masing.

Dan ketetapan atau pun persetujuan yang dikira besar diambil pada pertemuan itu ialah meminta kerajaan melantik di kalangan penulis dan bloger sebagai ahli Dewan Negara di masa akan datang.

Alasannya kalau OKU, artis dan bintang filem boleh dilantik menjadi Senator sebagai mewakili kumpulan atau entiti masing-masing kenapa tidak dengan penulis. Belum ada seorang anggota Dewan Negara yang diangkat dari kalangan penulis dan sasterawan. "Penulis juga tidak kurang dengan ilmu malahan penulislah yang menjadi pembentuk fikiran rakyat sewajarnya diletakkan di Dewan Negara," tekan Syed Hussein.


Dua nama telah dicalonkan untuk diangkat menjadi senator, Yahaya Ismail dan Abdul Muluk Daud atau Dharmala NS. Kedua mereka merupakan sasterawan dan penulis yang mapan banyak melahirkan buku dan (tulisan) kritikan politik dan sosial. Dharmala NS sebenarnya memiliki dua degree politician dan sasterawan. Beliau berdua mampu memberi sumbangan bermakna kepada negara dalam konteks pembangunan siasah dan sosial negara.

Perbincangan berhubung beberapa resolusi yang diambil pada pertemuan hari ini mungkin akan didalami lagi pada pertemuan akan datang yang dijangkakan akan diadakan di rumah Pak Habib di Janda Baik pada 26 Oktober depan.

3 comments:

. said...

Bro,

Saya pun teringin nak bertanding MT UMNO, cuma bimbang tak cukup pencalonan. Bro boleh tolong jadi campaign manager saya ker? hehehe

Che Moq™ said...

Gencatan senjata? den baru yo isi bulllet...xkan den nak menyorah?

tunku said...

saya rasa saudara layak menjadi senator dr kalangan bloggers. tapi berkenaan dgn rpk,hmmmmm.

My Say